Rakyat Malaysia akan tempuh peperangan ‘alaf baharu’ esok

Dari Meja Editor



Mulai esok, sektor ekonomi negara akan beroperasi semula. Orang ramai akan mula bekerja dengan kehidupan norma baharu, tidak sama dengan apa yang dilalui sebelum ini.

Bagi yang masih terkandas di kampung, hanya akan bergerak balik bermula Khamis ini, di mana jadual perjalanan mereka akan berlaku secara berperingkat dan disusun oleh PDRM.

Menjelang esok, tiada lagi berkumpul beramai-ramai, tiada lagi perhimpunan jabatan, tiada lagi bersidai di pawagam untuk menonton wayang atau melepak di kelab-kelab.

Penjarakan sosial perlu dipraktikkan secara total. Ini kerana saintis sepakat bahawa dengan melalui cara ini sahaja kita dapat mengawal penyebaran wabak pembunuh COVID-19 ini.

Tiada lagi bersalam-salaman. Letakkan tangan di dada sendiri sebagai tanda hormat, atau fist bump untuk nampak lebih cool.


Ada yang telah kehilangan ahli keluarga atau sahabat mereka akibat diragut nyawa oleh virus pembunuh ini. Mereka adalah paling terkesan sekali dari sudut emosi. Menjelang pembukaan sektor ekonomi esok, mereka akan turut bekerja seperti biasa. Berilah sokongan moral kepada mereka supaya mereka terus kuat menjalani kehidupan di hari mendatang.

Rakyat Malaysia, sama ada kita berjaya atau tidak memerangi virus ini bukanlah terletak di bahu Ketua Pengarah Kesihatan atau Menteri kita.

Ia terletak pada diri kita sendiri. Kita yang menentukan sama ada kita akan berjaya atau tidak. Pedang di tangan kita, darah juga di tangan kita.

Disiplin adalah kunci utama. Namun jika melihat kepada statistik tangkapan ingkar PKP sejak ia dilaksanakan hingga 1 Mei, ia membimbangkan.

23,266 individu telah ditangkap kerana ingkar arahan PKP. Sekaligus menimbulkan kebimbangan kepada kita, adakah rakyat Malaysia boleh dipercayai dengan ‘New Norm’ ini jika arahan mudah untuk duduk di rumah pun sukar untuk dipatuhi?



Inilah yang membimbangkan kita semua. Kunci disiplin masih belum kita perolehi.

Di UK, kadar purata kes tangkapan harian ingkar perintah berkurung cuma lebih kurang 84, berbanding Malaysia yang berada pada kadar 582 sehari.

Tetapi inilah yang perlu kita hadapi. Kita terpaksa terima hakikat bahawa negara kehilangan sebanyak RM2.4 billion sehari sepanjang tempoh PKP seperti yang diumum oleh PM. Jika ini berterusan, kerajaan bimbang akan berlaku masalah yang lebih parah, dan mungkin kita tidak akan dapat bangkit semula.



Hakikat ini telah mengheret kita untuk keluar dari rumah dan menyertai ‘perang alaf baharu’ ini.

Sudah tentu, penerimaan rakyat berbeza-beza. Dalam sebuah negara demokrasi, ini tidak dapat dielakkan. Ada yang marah, ada yang kecewa, ada yang gembira, ada yang lega, ada yang takut dan bimbang.


Namun perperangan ini mestilah ditempuhi dengan penuh disiplin serta berhati-hati. Kita semua perlu bersedia.

Bak kata Jussi Sane, Ketua Pakar (Persediaan & Respon) Institut Kesihatan & Kebajikan Finland, yang mengatakan bahawa “We have to find a way to live with the virus,

Di kesempatan ini, kita ucapkan terima kasih kepada barisan hadapan kita yang sudah bertungkus lumus bekerja untuk kita demi mempastikan kesihatan dan keselamatan kita terjamin. Pengorbanan anda tidak terbayar.



Nampaknya virus ini masih belum mengalah, begitu juga kita. Kita juga tidak boleh mengalah.

Ingat, jaga jarak anda, jangan keluar rumah jika tidak perlu, work from home, pakai topeng muka & sentiasa basuh tangan.

Semoga berjaya rakyat Malaysia!

Comments

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Visitors