Mana yang lebih berkuasa, negeri atau persekutuan?




Oleh Aidil Khalid


ULASAN | Apabila kerajaan persekutuan memutuskan untuk membuka semula sektor ekonomi, tetapi beberapa kerajaan negeri pula berkeras untuk meneruskan perintah kawalan, maka perkara pertama yang harus kita teliti ialah siapakah yang sebenarnya berkuasa dalam hal ini — negeri atau persekutuan?


Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Senarai III Jadual Kesembilan memperuntukkan bahawa tanggungjawab dan kuasa bagi mengurus kesihatan awam dan pencegahan penyakit adalah dikongsi bersama di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Jadi bermaksud, kedua-dua peringkat kerajaan mempunyai kuasa yang sama dan setara. 


Tapi ini bukanlah bermaksud kerajaan negeri boleh sesuka hati menyekat kebebasan berekonomi dan bergerak di kalangan rakyat di sesuatu negeri, kerana untuk berbuat demikian, kerajaan negeri perlu terlebih dahulu mewartakan enakmen atau undang-undang kecil yang berkaitan dengannya. 


Harus diingat, bahawa hak kebebasan bergerak dan mencari sumber kehidupan adalah hak yang dilindungi di bawah Perkara 5 dan Perkara 9 Perlembagaan. 




Jadi sebarang kekangan terhadap kebebasan rakyat atas kepentingan kesihatan awam, tidak sah dikuatkuasakan dengan sekadar Menteri Besar dan exco mengeluarkan arahan ekeskutif, sebaliknya perlu mewujudkan undang-undang berkaitan dengannya.


Ini dinyatakan di dalam seksyen 73(1)(b) Akta Kerajaan Tempatan 1976: “Sesuatu pihak berkuasa tempatan boleh dari semasa ke semasa membuat … undang-undang kecil untuk menjalankan peruntukan Akta ini … dan khususnya … untuk mencegah penyakit dari berlaku dan merekbak … untuk mengatur dan menguatkuasakan kuarantin, pencegah jangkitan orang, pencegah jangkitan tempat dan benda….”


Saya tidak pasti dengan negeri lain, tetapi setakat yang saya selidik berkenaan negeri Selangor (kerana saya tinggal dan bekerja di sini), keputusan kerajaan negeri untuk mengubah-suai kebenaran membuka sektor ekonomi, tidak pun diwartakan melalui mana-mana undang-undang kecil, tetapi cuma dimaklumkan oleh Menteri Besar sahaja.




Saya bersedia untuk dibetulkan, jika sebenarnya kerajaan negeri ada mewartakan enakmen atau undang-undang kecil tersebut, tetapi jika memang tidak diwartakan, maka sudah tentu seorang Menteri Besar tidak berkuasa untuk menafikan kebebasan rakyat, tanpa melalui tatacara perundangan yang betul, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Persekutuan telah pun memutuskan untuk membenarkan ekonomi dibuka semula.


Dalam apa keadaan jua sekalipun, walaupun kuasa berkenaan kawalan penyakit berjangkit dikongsi bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri, tetapi kita jangan lupa bahawa Perkara 75 Perlembagaan juga menggariskan bahawa dalam keadaan di mana “undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu akan mengatasi undang-undang negeri.”


Sebab itu, dalam hal ini, jalan terbaik adalah sepatutnya kerajaan negeri dan persekutuan berbincang bersama, sebab ini melibatkan isu keselamatan awam.


Perlu ditekankan bahawa tulisan ini hanya menyentuh aspek perundangan dan prosedur, dan langsung tidak berminat membahas soal sama ada wajar atau tidak perintah kawalan pergerakan dilonggarkan; ataukah perlu terus lockdown, sebab itu bukan skop tulisan ini.


Aidil Khalid ialah seorang peguam.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JUMPAKATMAHKAMAH.com

Comments

  1. But when the Federal Government convened to address Covid 19 pandemic, the opposition states were precluded from the sitting... How?

    ReplyDelete
  2. Betullah tu. Cuma kadang2 menteri besar nak tunjuk juga kuasa dia.

    ReplyDelete

Post a Comment

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Visitors