Kerajaan Negeri ada hak tidak laksana PKPB

Oleh Mohd Ruzaini Bin Zulkifli

KOLUM | Malaysia sudah memasuki fasa ke-4 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 29.4.2020 sehingga 12.5.2020. 



Selaras dengan PKP fasa ke-4 ini, Menteri Kesihatan juga telah membuat Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020 (Peraturan No.4). Peraturan-peraturan ini telah diwartakan menerusi Warta Kerajaan P.U.(A) 133. (sesalinan Warta Kerajaan P.U.(A) 133 ini boleh didapati dari laman web federalgazette.agc.gov.my).

Namun, pada Jumaat lepas, iaitu 1.5.2020, dalam perutusan Hari Pekerja beliau, YAB Perdana Menteri Malaysia (YAB PM) telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), iaitu bermula 4.5.2020, “hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi” – sekaligus memberi kelonggaran kepada rakyat untuk bergerak dan berhimpun bagi melaksanakan aktiviti ekonomi dan juga aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan.



Pengumuman ini mendapat reaksi berbeza dari pelbagai lapisan masyarakat. Golongan pengusaha dan pemilik perniagaan menyambut baik pengumuman ini berdasarkan faktor kelangsungan perniagaan dan juga kemandirian sumber kewangan.

Bagi kumpulan masyarakat yang lain, pengumuman ini disambut dingin, atas alasan kesihatan. Bahkan, alasan inilah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri Kedah, Selangor dan Sarawak apabila masing-masing mereka mengumumkan untuk sama ada tidak akan melonggarkan PKP atau menangguh pelaksanaan PKPB. 

Persoalannya, bolehkah Kerajaan Negeri enggan melaksanakan PKPB yang diumumkan YAB PM pada Jumaat lepas? Tidakkah tindakan Kerajaan Negeri ini bercanggah dengan undang-undang?
Hal-ehwal berkenaan kesihatan jatuh dalam bidangkuasa Kerajaan Persekutuan, bukannya Kerajaan Negeri (Jadual 9, Senarai 1, Buiran 14 Perlembagaan Persekutuan). 

PKP yang berkuatkuasa di negara kita bermula dari 18.3.2020 adalah untuk membendung wabak Covid-19, iaitu satu ancaman kesihatan. 

PKP tersebut telah dilaksanakan menurut seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, iaitu satu Akta berkaitan kesihatan awam yang diperbuat oleh Parlimen Persekutuan Malaysia. 

Dalam subseksyen (1) Menteri Kesihatan Malaysia, dan bukannya Kerajaan Negeri, yang diberi kuasa untuk mengisytiharkan seluruh Persekutuan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan wabak Covid-19. 

Kemudian, subseksyen (2), membolehkan Menteri Kesihatan membuat peraturan-peraturan bagi menetapkan langkah-langkah yang hendak diambil bagi membendung wabak Covid-19 di dalam Persekutuan Malaysia.

Justeru, pembuatan Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dari No.1 sehingga No.4 oleh Menteri Kesihatan adalah berdasarkan peruntukan seksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.



Peraturan No.4 masih lagi mengekalkan terma-terma sama dalam Peraturan-peraturan sebelum ini, iaitu tiada sebarang pergerakan dalam kawasan tempatan jangkitan dibenarkan melainkan bagi maksud melaksanakan urusan-urusan yang berkaitan dengan perkhidmatan perlu atau menjalankan urusan untuk kelangsungan kehidupan asasi.

Seperti yang diumumkan oleh YAB PM dan menerusi tinjauan klarifikasi dalam laman web MKN, hampir semua perusahaan dalam sektor ekonomi dibenarkan beroperasi. 

Oleh yang demikian, kompleks beli-belah, kedai makan, kedai peralatan solek, kedai pakaian, kedai peralatan sukan, kedai perabot serta bengkel kereta dan motosikal kini boleh dibuka dan dikunjungi orang awam. Situasi ini secara langsung melonggarkan kawalan pergerakan dan membenarkan perhimpunan.



Terma-terma pelonggaran kawalan pergerakan dan kebenaran berhimpun bagi menyokong operasi sektor ekonomi yang diumumkan YAB PM pada 1.5.2020 tidak terdapat dalam Peraturan No.4. 

Pelonggaran kawalan pergerakan dan kebenaran berhimpun dalam Peraturan No.4 yang telah diwartakan adalah amat terhad kepada beberapa situasi sahaja, seperti membeli bekalan makanan, mendapatkan rawatan dan melaksanakan tugasan rasmi yang telah mendapat kebenaran.

Sehingga kini, Peraturan No.4 yang masih berkuatkuasa sehingga 12.5.2020 tidak dipinda bagi mencerminkan PKPB untuk menyokong operasi sektor ekonomi.

Oleh yang demikian, berdasarkan hujahan di atas, PKPB yang diumumkan oleh YAB PM pada 1.5.2020 bukanlah satu peraturan yang mempunyai kesan undang-undang; ianya hanyalah cerminan niat Kerajaan Persekutuan untuk melonggarkan pelaksanakan Peraturan No.4 tersebut.



Justeru, oleh kerana Peraturan No.4 tidak dipinda untuk memasukkan terma-terma pelonggaran kawalan pergerakan dan kebenaran berhimpun bagi menyokong operasi sektor ekonomi, maka PKPB yang diumumkan YAB PM pada 1.5.2020 tidak mempunyai kuasa undang-undang dan tidak wajib dipatuhi.

Kesimpulannya, Kerajaan Negeri mempunyai pilihan sama ada mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan atau terus tegas melaksanakan pematuhan terhadap Peraturan No.4. Justeru, tindakan Kerajaan Negeri Kedah, Selangor dan Sarawak untuk tidak melaksanakan PKPB adalah teratur dari segi undang-undang kerana ianya adalah sah, menurut undang-undang dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


Mohd Ruzaini Bin Zulkifli ialah seorang peguam dan beramal di Tetuan Farhan Maaruf & Co.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JUMPAKATMAHKAMAH.com

Comments

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Visitors