Pengguna basikal juga tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987
Berikutan larangan basikal menggunakan lebuhraya yang tular hari ini, adakah ianya berlandas kepada undang-undang?
Kita perlu kembali kepada definisi basikal itu sendiri, berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Basikal mempunyai hak yang sama seperti kenderaan lain.
Apakah maksud kenderaan di bawah Akta?
“kenderaan ertinya suatu struktur yang boleh bergerak atau digerakkan atau digunakan bagi membawa mana-mana orang atau benda dan yang bersentuhan dengan permukaan bumi apabila bergerak;”
Basikal atau sikal kayuh itu adalah terma yang digunakan di dalam Akta Pengangkutan Jalan (“APJ”), seksyen 2 menjelaskan;
“basikal elektrik ertinya sikal dengan bantuan kayuh yang dilengkapi dengan motor elektrik sokongan yang mempunyai kuasa berkadar berterusan yang maksimum 0.25 kW, dengan outputnya berkurangan secara beransur-ansur dan akhirnya terhenti apabila kenderaan mencapai kelajuan 25 km/j atau sebelumnya jika penunggang sikal berhenti mengayuh;”
Di bawah seksyen 54 pula, APJ mewajibkan undang-undang yang sama ke atas kenderaan lain diaplikasikan terhadap basikal juga.
“54. (1) Subseksyen 42(1), 43(1), 44(1), 45A(1), 45B(4), 45B(5) dan 45C(6) dengan meninggalkan rujukan mengenai cuba memandu hendaklah, tertakluk kepada seksyen ini, terpakai kepada orang yang menunggang basikal, basikal elektrik dan trisikal yang bukannya kenderaan motor, sebagaimana subseksyen itu terpakai kepada pemandu kenderaan motor, dan rujukan dalam peruntukan itu mengenai kenderaan motor, pemandu dan pemanduan hendaklah ditafsirkan sewajarnya.”
Dua seksyen penting yang perlu diberi perhatian di sini adalah 42 dan 43. 42 menghukum pemandu yang memandu secara melulu dan merbahaya. Manakala 43 menghukum pemandu yang memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. Dan pengguna basikal adalah tidak terlepas dari kedua-dua tanggungjawab undang-undang ini.
Ini bermakna, undang-undang mengiktiraf dan memberikan layanan yang sama kepada pengguna basikal dengan kedudukan kenderaan lain di atas jalanraya.
Tiada pengecualian diberikan kepada basikal, di mana basikal tetap tertakluk kepada undang-undang di bawah APJ.
Walaubagaimanapun, Menteri diberi kuasa di bawah seksyen 70 APJ untuk menghalang mana-mana kenderaan khusus dari menggunakan sesuatu jalan.
Berdasarkan laporan media pada tahun 2017, larangan berbasikal telah diwartakan sebagai salah satu kenderaan yang tidak dibenarkan memasuki lebuhraya.
Apa yang pihak lebuhraya boleh lakukan?
Pihak lebuhraya boleh membuat jadual khas kepada pengguna basikal yang ingin menggunakan lebuhraya seperti hari-hari tertentu atau atas acara-acara tertentu. Namun untuk melarangnya secara total adalah salah dan mendiskriminasi pengguna basikal.
Pihak yang ingin berbasikal perlu memohon permit khas daripada pihak PDRM sebelum dibolehkan memasuki lebuhraya.
Kepada pengguna basikal pula, pastikan jarak selamat semasa ‘berkonvoi’ dan beri laluan kepada kenderaan lain yang lebih laju seperti motosikal dan kereta.
Comments
Post a Comment