KWSP & Tabung Haji bukan harta sepencarian

Apabila berlaku perceraian, adakah wang KWSP boleh dituntut sebagai harta sepencarian?



Walaupun wang KWSP bukanlah dianggap sebagai sumbangan secara langsung, ada pihak mendakwa ia merupakan sumbangan secara tidak langsung, seperti pengorbanan penat lelah isteri dalam rumah tangga. Namun, adakah ini dibenarkan?

Di dalam kes Noridah bt Ab Talib v Hishamuddin bin Jamaluddin [2009], Plaintif telah menuntut wang KWSP Defendan sebagai sebahagian dari harta sepencarian.

Dalam kes tersebut, mahkamah memutuskan bahawa wang KWSP adalah harta pusaka. Oleh yang demikian, ia merupakan sebahagian dari hak milik orang lain dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Mahkamah menyatakan;

“Berdasarkan kepada kedua-dua fatwa di atas, simpanan ahli KWSP adalah merupakan harta pusaka dan perlu diagihkan mengikut hukum faraid. Sekiranya ahli membuat penamaan semasa hayatnya, orang yang dinamakan hendaklah menerima simpanan ahli yang mati itu sebagai seorang wasi dan bukannya sebagai benefisiari dan hendaklah membahagi-bahagikan mengikut undang-undang Islam.”

Oleh yang demikian, wang simpanan KWSP tidak memenuhi syarat yang boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Mahkamah seterusnya memutuskan;

“Ditinjau dari sudut apakah jenis tuntutan atau dakwaan yang dibuat itu dari segi sah atau tidak, mahkamah berpendapat tuntutan plaintif ke atas wang daripada simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), yang didaftar di atas nama defendan, dengan nombor keahlian 02766945 adalah merupakan suatu dakwaan/tuntutan yang fasid atau yang tidak sempurna atau dakwaan/tuntutan cacat menurut hukum Syarak.”

Di dalam kes ini, Plaintif telah memohon daripada mahkamah agar mahkamah mengisytiharkan simpanan caruman KWSP Defendan sebagai harta sepencarian.


 

Walaubagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan plaintif kerana ia adalah tidak menepati hukum Syarak dan undang-undang.

Mahkamah menggariskan prinsip penting berikut;

“Mahkamah juga berpendapat bahawa harta berupa caruman wang KWSP tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara tidak langsung jika dirujuk kepada konsep asalnya. Sebaliknya, ia merupakan harta milik peribadi pencarum dan hanya pencarum yang mempunyai hak mutlak ke atas wang tersebut. Sekiranya mana-mana ahli yang mencarum di KWSP meninggal dunia, maka caruman tersebut hendaklah dibahagikan kepada ahli-ahli warisnya mengikut hukum faraid manakala penama KWSP hanya sebagai wasi/pentadbir,”

Selain dari wang KWSP, Plaintif juga menuntut wang simpanan dari Simpanan Tabung Haji sebagai tuntutan harta sepencarian.

Mahkamah turut menolak tuntutan tersebut atas alasan ia merupakan simpanan seseorang. Mahkamah menyatakan seperti berikut;

“Di dalam kes ini, mahkamah berpendapat bahawa wang simpanan di Lembaga Urusan dan Tabung Haji merupakan simpanan individu dan tiada satu peruntukan pun yang mengatakan ianya boleh dikategorikan sebagai usaha bersama dan dikira sebagai harta sepencarian. Ini kerana setiap simpanan itu adalah hak individu itu sendiri.”

Comments

  1. NORHAYATI YUSOFF lwn. AHMAD SHAH AHMAD TABRANI
    [2008] 1 MSLR 9

    Bagaimana dengan kes Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan ini? Di mana harta KWSP Responden telah dibenarkan dituntut Perayu sebagai harta sepencarian.

    ReplyDelete

Post a Comment

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Visitors