Tuntut Akhyar demi perjuang hak & keadilan

“Sukar, tetapi tidak salah untuk memperjuangkan hak dan keadilan.” 

Itu jawapan yang diberikan penulis blog sukan yang mempunyai latar belakang undang-undang, Zairudin Hashim atau lebih dikenali sebagai Che Din ketika ditanya tentang peluang KFA untuk mencabar perpindahan Akhyar ke JDT. 

“Bagi saya nak cabar agak sukar sedikit, sebab memang jelas dinyatakan dalam Perenggan 3, Artikel 15A, Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FAM, di mana FAM mempunyai kuasa akhir.” 

KFA dalam satu kenyataan telah menyatakan bahawa mereka akan membawa perkara ini ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS). 

Che Din berpendapat jika perkara ini dibawa ke FIFA sekalipun, peluang KFA untuk mendapatkan Akhyar semula agak sukar. Namun, beliau juga menegaskan bahawa tidak ada salahnya sekiranya KFA ingin berikhtiar untuk meneruskan tindakan ke CAS, atas nama keadilan.

“Sebab itu dalam status dan artikel saya, saya tekankan keperluan pindaan Artikel 15A tersebut. Idea utamanya adalah supaya wujud situasi menang-menang, di mana kebajikan pemain, bekas pasukan serta kelab baharu terpelihara.”

Tambah beliau lagi, “Selagimana wujud kelompangan serta kelonggaran pada peraturan sedia ada, akan ada pihak yang mungkin memanipulasi peraturan tersebut, sehingga menyebabkan ketidakadilan kepada pihak tertentu.”  

Che Din yang konsisten menekankan berkenaan perlunya badan bola sepak negara dikendalikan dengan bebas dan berintegriti menyatakan, “Sudah tentu kita mahukan keadilan buat para pemain dan pasukan dalam Liga-M. Jadi, tiada isu sekiranya semua pemegang taruh di dalam Liga-M diberikan ruang untuk memberikan pandangan mereka, dalam memastikan Artikel tersebut dapat dipinda dan diperbaiki, untuk kebaikan semua.”

Selain menyentuh tentang risiko di mana akan ada pasukan Liga-M yang tidak mahu mengikat kontrak panjang dengan seseorang pemain, beliau juga menyebut berkaitan isu ejen bebas. 

“Dalam konteks ini, selain siapa yang memegang Sijil Pelepasan Pemain, asas untuk seseorang pemain menjadi ejen bebas juga perlulah jelas. Sebaik-baiknya, seseorang pemain memastikan ada makluman dan persetujuan daripada pasukan yang sedang diwakilinya (berdasarkan kontrak sedia ada), sebelum membuat rundingan dengan pasukan yang lain. Ini semua juga adalah demi menggerakkan Liga-M ke arah profesionalisme, dalam erti kata yang sebenar.”

Kredit:


Comments

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Visitors