Medik ganja: Peguam tak setuju kenyataan IGP

Kerajaan Thailand telah mengumumkan legalisasi bagi penggunaan ganja dalam bidang perubatan bermula tahun 2019. Thailand adalah negara kedua dalam benua Asia yang mengorak langkah seumpama ini selepas Israel pada pertengahan tahun 2018.

Peguam Farhan Maaruf berkata, gerakan untuk penggunaan ganja dalam perubatan atau lebih dikenali sebagai medik ganja telah bermula sejak lebih kurang 10 tahun yang lalu.

“Advokasi penggunaan ganja dalam bidang perubatan telah bermula di Malaysia sejak lebih kurang 10 tahun lalu namun klimak advokasi ini menunjukkan rentak positif setelah Muhammad Lukman dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan mengedar dadah jenis THC dan juga cannabis.” katanya.

Beliau yang juga merupakan peguam kepada Muhammad Lukman berkata, kes Lukman telah mendapat liputan antarabangsa dan dilaporkan di media sosial pada beberapa platform di negara Perancis, Australia, Singapura dan juga United Kingdom. 

“Di atas usaha ini beberapa ahli Parlimen telah menunjukkan sokongan dalam isu penggunaan ganja dalam bidang perubatan. Malahan, Perdana Menteri Malaysia juga telah memberikan kenyataan bahawa perkara ini adalah wajar diberikan perhatian dan boleh juga diberikan peluang untuk kajian.” tambah beliau lagi.

Beliau turut kecewa kerana kerajaan Malaysia masih belum bersedia untuk menerima medik ganja ini.

“Selepas tindakan kerajaan Thailand mengumumkan legalisasi ini, beberapa kenyataan balas berunsur negatif telah dikeluarkan. Ianya bermula daripada kenyataan Timbalan Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia Lee Boon Thye menyatakan bahawa medik ganja memerlukan kajian dalam negara bagi menentukan dos yg sesuai bagi keperluan perubatan.”

“Persoalannya di sini, adakah kesemua ubat yg dijual di Malaysia melalui proses yg sama?” soalnya.

“Adakah kesemua ubat yg dijual di hospital swasta juga berlandaskan kajian yg dibuat di Malaysia sebagai syarat pra kelulusan sebelum penjualan tersebut dibenarkan oleh KKM?”

Beliau turut menambah bahawa ganja dalam bidang perubatan di anak tirikan kelulusannya dgn mengenakan syarat-syarat yg tidak masuk akal oleh kerajaan.

“Mengapa ganja dilihat sebagai satu dadah yg paling berbahaya berbanding syabu, heroine atau morfin?”

“Kesemua dadah berbahaya disenaraikan di bawah Bahagian III Jadual 1 di dalam Akta Dadah Berbahaya. Jika disemak senarai tersebut, terdapat beratus jenis dadah yg rata-rata adalah variasi heroine dan juga morfin. Hanya dua jenis bahan 'psychoactive' daripada cannabis yg disenaraikan iaitu delta-8-tetrahydrocannabinol dan juga delta-9-tetrahydrocannabinol yg mana dadah yg kedua itu dijadikan asas dua pertuduhan bagi kes Lukman.”

Beliau menjelaskan bahawa dadah jenis cannabis adalah kesalahan di bawah Seksyen 6, 39A(1), 39A(2) dan juga di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Hukuman yang diperuntukkan di bawah Seksyen-seksyen tersebut bermula dari denda sehingga hukuman mati.

Farhan juga menyatakan hukuman di Malaysia adalah jauh lebih berat berbanding di Thailand.

“Ganja disenaraikan sebagai dadah kelas 5 yg seiring dgn ketum serta cendawan yg mana kerajaan Thailand memandang dadah jenis Syabu sebagai isu yg lebih serious. Hal ini kerana, milikan dadah jenis ganja kurang dari 10kg hanya dberikan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan/atau denda yg mana berbeza dengan kerajaan Malaysia yg memperuntukkan hukuman mati bagi milikan lebih dari 200g. Fakta ini menunjukkan bahawa hukuman yg diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia adalah jauh lebih berat daripada kerajaan Thailand.”

“Ironinya, Akta Dadah Berbahaya di Malaysia membenarkan daun koka, biji popi dan juga cannabis diimport serta dieksport di Malaysia dgn kebenaran yang sah (Seksyen 4 dan 5 ADB). Malahan, milikan juga dibenarkan sekiranya seseorang itu mempunyai kebenaran yang sah (Seksyen 6 Akta yg sama). ADB juga membenarkan penanaman bagi tujuan penyelidikan dan penjualan yang mana juga dgn kebenaran yang sah (Seksyen 7 ADB).”

“Namun begitu, isu ganja dalam bidang perubatan disifatkan sebagai satu najis yang sgt jijik yang mana dadah jenis ganja adalah lebih berbahaya berbanding heroine, morfin mahu pun syabu.”

Alasan yang diberikan oleh kerajaan juga tidak memuaskan, menurutnya.

“Apabila diajukan persoalan mengenai relevansi ganja dalam perubatan, jawapan yang diberikan oleh pegawai kerajaan terhenti setakat ganja adalah dadah jenis berbahaya dan tidak lebih dari itu.”

“Adakah pegawai kerajaan benar-benar faham mengenai konsep dadah berbahaya atau adakah pegawai kerajaan benar-benar faham mengenai klasifikasi, kategori dan jenis-jenis dadah?”

Farhan turut menjelaskan secara terperinci jenis-jenis dadah dan kesannya.

“Terdapat beberapa jenis dadah iaitu stimulant, opiod, relaxant dan hallucinogenic. Dadah jenis stimulant seperti methamphetamine memberikan kesan berlipat kali ganda pada kelima-lima deria badan. Dadah jenis opiod seperti heroin dan morfin pula memberikan kesan kelalian sementara memandangkan ianya adalah jenis painkiller. Dadah jenis hallucinogenic pula memberikan kesan khayal dan membuatkan pengguna berhalusinasi dalam beberapa tempoh manakala ganja dikategorikan sebagai dadah jenis relaxant yg membuatkan kesemua otot pengguna dalam keadaan berehat dan membuatkan pengguna tertidur dalam kadar yg cepat.”

“Kenyataan pegawai-pegawai kerajaan berkenaan isu ini menunjukkan dengan jelas dan nyata bahawa kebanyakan mereka tidak mempunyai pengetahuan meluas berkenaan dadah dan juga tidak merujuk kepada mereka yg lebih berpengetahuan.”

Beliau turut memberi contoh aplikasi ganja di negara luar misalnya.

“Sekiranya ganja adalah satu jenis dadah yg berbahaya maka kesemua penduduk di The Netherlands sepatutnya telah mati disebabkan ganja memandangkan kerajaan negara Belanda telah membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi sejak 1970-an. Penduduk di Amerika khususnya di Baltimore, Hollywood dan beberapa negeri yg lain juga diambang kepupusan.”

Beliau turut menyindir negara-negara lain yang membenarkan ganja kerana mahu ‘membunuh’ penduduknya.

“Perkara yg sama juga terjadi di Kanada sejak 2001 memandangkan pada tahun itu kerajaan Kanada telah melegalisasikan penggunan ganja dalam bidang perubatan dan pada tahun 2018, atas dasar benci kepada rakyat sendiri, Perdana Menteri Kanada bertindak membenarkan ganja digunakan dalam bidang perubatan. Tujuan sebenar kerajaan Kanada dalam ‘membunuh’ rakyat sendiri sehingga kini tidak diketahui.”

“Bukan itu sahaja, kerajaan Portugal telah mengeluarkan kesalahan berkenaan narkotik daripada kesalahan jenayah dan meyifatkan kesalahan narkotik seperti kesalahan saman trafik.”

“Satu lagi negara yang bertindak secara narcissistic dan dengan perasaan benci kepada rakyat adalah negara Uruguay yg membenarkan rakyat menanam sendiri pokok ganja di rumah.”

Beliau turut mempersoal kenyataan Ketua Polis Negara berkenaan kebenaran penggunaan ganja dan menjangkakan kegiatan penyeludupan akan bertambah buruk jika ganja tidak dibenarkan.

“Di Malaysia, sepertimana kenyataan Ketua Polis Negara, ganja tidak dibenarkan atas dasar ianya adalah satu dadah yg berbahaya dan gerakan legalisasi akan membuatkan aktiviti penyeludupan meningkat adalah satu kenyataan tidak logik.”

“Hal ini kerana, apabila ganja dibenarkan dijual kepada rakyat, kenapa mesti diseludup? Kerajaan mungkin menyifatkan penjalan rokok seludup yg berleluasa sehingga sekarang namun itu juga adalah tindakan kurang bijak kerajaan yg enggan meratifikasikan penjualan rokok daripada syarikat selain Phillip Morris dan Japan Tobacco International.”

Beliau turut menambah hasil cukai ganja di Kanada telah dimanfaatkan oleh negara itu untuk membayar hutang kerajaan.

“Harga pasaran gelap bagi 10g ganja adalah lebih kurang RM150-200. Pengguna dadah jenis ganja adalah lebih kurang 60% daripada pengguna dadah secara keseluruhan dan dengan mengambil kira secara purata 1 juta pengguna dadah maka legalisasi ini boleh memperoleh keuntungan kasar lebih kurang RM20juta sehari yg mana kerajaan Kanada menyatakan bahawa hutang negara boleh dibayar menggunakan hasil cukai daripada penjualan ganja dalam masa sebulan. Kos operasi pusat serenti dan penjara juga akan berkurangan malah kebanyakan pusat serenti juga boleh ditutup hasil daripada proses legalisasi ini.”


“Fakta ini juga menunjukkan bahawa terdapat pihak yg membuat keuntungan berjuta setiap hari hasil daripada aktiviti penyeludupan ganja tetapi kerajaan Malaysia melihat bahawa aktiviti tersebut akan bertambah akibat daripada proses legalisasi. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa persoalan sekiranya ganja boleh dibeli dgn sah kenapa nak seludup tidak pernah terlintas dalam pemikiran Ketua Polis Negara.” tambahnya.

Comments

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Visitors