KKM juga boleh saman Linda Rafar


Kenyataan kontroversi pelakon Linda Rafar terhadap jururawat di sebuah hospital di Shah Alam masih belum selesai, apabila Kesatuan kerja untuk para jururawat, Delegasi Jururawat Malaysia mengeluarkan satu kenyataan hari ini di mana mereka dalam proses mengumpul dana untuk memulakan proses undang undang terhadap Linda Rafar.

Linda Rafar telah memuat naik gambar dan kenyataan menyatakan rasa tidak puas hati dengan layanan yang diberikan oleh salah sebuah hospital kerajaan di Shah Alam.

Namun Peguam Mohamad Siddiq Azani ketika dihubungi berpendapat, pihak yang paling sesuai mengambil tindakan undang-undang terhadap Linda Rafar adalah Kementerian Kesihatan (KKM) dan bukannya kesatuan sekerja jururawat.

“Yang difitnah di sini (jika ada sekalipun), adalah KKM dan bukannya kesatuan sekerja. Kesatuan sekerja dan KKM adalah dua entiti yang berbeza.”

Beliau menyandarkan pendapatnya itu kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Kerajaan Sarawak v. Chong Chieng Jen (2018), di mana dalam kes tersebut Mahkamah tertinggi negara itu memutuskan bahawa kerajaan boleh menyaman individu dalam saman fitnah.

“Sebelum ini kerajaan tidak boleh menyaman individu yang memfitnah kerajaan. Ini prinsip dalam English Common Law.”

“Namun apabila kes Kerajaan Sarawak ini diputuskan oleh Mahkamah, kini kerajaan boleh menyaman individu yang memfitnah kerajaan.”

Beliau berkata keputusan tersebut merupakan keputusan bersejarah atau ‘landmark decision’ yang telah mengubah landskap undang-undang negara.

“Mahkamah memutuskan Akta Prosiding Kerajaan tidak terikat di bawah ketetapan Common Law, maka dalam kes ini saya berpendapat KKM juga boleh memfailkan saman jika mereka mahu” ulasnya.

Walaubagaimanapun beliau berkata kenyataan Linda Rafar tersebut tidak semestinya terjumlah kepada fitnah.

“Sekiranya Linda Rafar boleh membuktikan bahawa kenyataan beliau adalah benar dan boleh memberi justifikasi terhadap kenyataannya, beliau boleh menangkis saman fitnah tersebut.”


KKM dalam satu kenyataan berkata akan menyiasat perkara tersebut dan sekali lagi melarang sebarang pengambilan gambar atau video di dalam hospital.

Comments

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Visitors