Boleh dipenjara jika biarkan kucing kelaparan

Akta Kebajikan Haiwan 2015 mula dikuatkuasakan pada tahun 2017. Tujuan utama akta ini diwujudkan adalah bagi melindungi hak haiwan bagi tujuan perniagaan, peliharaan dan sebagainya.

Banyak undang-undang baharu diperkenalkan di dalam akta ini bagi tujuan tersebut. Malah pengusaha kedai yang menjual haiwan peliharaan juga perlu mempastikan tiada haiwan yang dijual kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Seksyen 28 menyatakan:-

28. Mana-mana orang yang menjual haiwan kepada seseorang yang dia mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa orang itu berumur di bawah dua belas tahun, melainkan jika orang itu ditemani oleh seorang dewasa, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak kurang daripada lima belas ribu ringgit dan tidak lebih daripada tujuh puluh lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya.

Kepada mana-mana yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan haiwan seperti gajah, kereta kuda dan sebagainya pula wajib mempastikan makanan dan minuman yang diberikan adalah mencukupi dan bersih.

Pemunya haiwan berlesen juga dikehendaki mempastikan haiwan mereka mendapat diet yang seimbang, keperluan melindungi daripada penyakit, keperluan persekitaran yang sesuai dan sebagainya. Mereka yang gagal mematuhi perkara ini boleh dipenjara sehingga 2 tahun.

Akta ini juga melindungi haiwan daripada diseksa dan dianiaya. Seksyen 29 menyatakan:-

29. (1) Mana-mana orang yang—

(a) dengan kejamnya memukul, menyepak, melebihkan muatan, mendera atau menakutkan mana-mana haiwan;

(b) terlebih naik atau terlebih tunggang mana-mana haiwan, kecuali untuk aktiviti yang berhubung dengan sukan ekuestrian yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama
kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576];

(c) menyebabkan, memperoleh atau, sebagai pemunya, membenarkan mana-mana haiwan dipergunakan sedemikian;

(d) sebagai pemunya mana-mana haiwan atau, sebagai penjaga mana-mana haiwan di dalam kurungan, tidak atau cuai untuk menyediakan makanan, minuman atau tempat perlindungan yang mencukupi untuk haiwan itu;

(e) dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan,
menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya, atau, sebagai pemunya, membenarkan apa-apa kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada mana-mana haiwan;

(f) menyebabkan, memperoleh atau, sebagai pemunya, membenarkan mana-mana haiwan dikurung, diangkut, diangkat atau dibawa dengan apa-apa cara atau kedudukan
yang menyebabkan haiwan itu mengalami kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya;

(g) mengambil kerja, menyebabkan, memperoleh atau, sebagai pemunya, membenarkan diambil bekerja apa-apa kerja
atau buruh, mana-mana haiwan yang disebabkan oleh apa-apa penyakit, kerengsaan, luka atau kudis, atau selainnya tidak sesuai untuk diambil bekerja;

(h) mencacatkan mana-mana haiwan dengan apa-apa cara termasuklah memotong telinga, memendekkan ekor, mencabut gigi taring, mencabut kuku, menyelar, menindik atau mengurangkan salakan melainkan dengan apa-apa cara yang ditentukan dan diperakukan oleh pihak berkuasa veterinar atau doktor veterinar berdaftar;

(i) melapah, memanggang atau membunuh mana-mana haiwan yang masih hidup kerana kepercayaan karut melalui tatacara yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan
kepada haiwan itu;

(j) mengeluarkan mana-mana bahagian haiwan yang masih hidup melalui suatu tatacara yang menyebabkan kesakitan
dan penderitaan kepada haiwan bagi maksud untuk mendapatkan kulit, minyak atau produk haiwan yang lain;

(k) memasang dinamit, mengelektrikan atau membubuh racun ke dalam mana-mana anak sungai, sungai atau jasad air yang lain bagi maksud untuk membunuh, menuai atau
menangkap haiwan;

(l) menyimpan mana-mana haiwan dengan dirantai atau ditambat dengan menggunakan rantai atau tali yang pendek atau berat, atau memincangkan kaki haiwan itu;

(m) menyimpan atau mengurung mana-mana haiwan di dalam sangkar atau bekas lain yang ukuran tinggi, panjang dan lebarnya tidak mencukupi bagi membenarkan pergerakan
semula jadi haiwan itu;

(n) membuat tawaran jualan mana-mana haiwan yang sedang menderita kesakitan disebabkan oleh kecacatan, kebuluran,
dahaga, kesesakan atau perbuatan aniaya yang lain;

(o) memiliki, tanpa alasan yang munasabah, mana-mana haiwan yang sedang menderita kesakitan disebabkan oleh kecacatan, kebuluran, dahaga, kesesakan atau perbuatan
aniaya yang lain;

(p) meninggalkan mana-mana haiwan dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan itu mengalami trauma, kesakitan atau penderitaan atas sebab penempatan semula,
kebuluran, dahaga, kecederaan atau penyakit;

(q) sebagai pemunya mana-mana haiwan, dengan sengaja atau cuai menyebabkan mana-mana haiwan keluar tanpa pengawasan di mana-mana tempat ketika haiwan itu dijangkiti penyakit berjangkit;

(r) sebagai pemunya mana-mana haiwan, dengan sengaja atau cuai menyebabkan mana-mana haiwan yang berpenyakit,
tidak berupaya atau cedera untuk mati di mana-mana tempat;

(s) menyebabkan, mendapatkan atau membantu dalam pelagaan atau pengumpanan mana-mana haiwan, atau menyimpan, menggunakan, menguruskan, atau melakukan atau membantu dalam pengurusan mana-mana premis atau tempat bagi maksud pelagaan atau pengumpanan
mana-mana haiwan, atau membenarkan mana-mana premis atau tempat dijaga, diurus atau digunakan, atau menerima atau menyebabkan atau mendapatkan mana-mana orang untuk menerima, wang bagi kemasukan mana-mana orang ke premis atau tempat itu;

(t) menggalakkan atau mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan menembak atau pertandingan yang haiwan dilepaskan dari kurungan bagi maksud penembakan itu.

Ini bermakna jika anda tidak memberi makan kepada haiwan peliharaan anda sehingga ia mengalami kebuluran, jiran anda boleh melaporkan anda kepada pihak polis.

Sebagai pemilik haiwan peliharaan juga anda bertanggungjawab merawat kesakitan dan kecacatan yang dialami oleh haiwan jagaan anda.

Justeru anda perlu berhati-hati untuk mengambil haiwan seperti kucing jalanan yang sedang sakit kerana apabila anda mengambil dan mula memelihara kucing tersebut, anda bertanggungjawab untuk merawatnya.

Jika anda gagal berbuat demikian, anda berdepan dengan denda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi 3 tahun!

Jadi nasihatkan rakan dan ahli keluarga anda yang ada haiwan peliharaan tu supaya mempastikan kebajikan haiwan mereka tidak terabai atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Comments

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Visitors