Bolehkah Yang di-Pertuan Agong ambil alih kuasa dan jadi ketua kerajaan?

Oleh Siddiq Azani




Merujuk kepada senario politik negara terkini, lantas hadir persoalan bolehkah jika kita beri kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memerintah negara demi menamatkan adegan rampasan kuasa atas nama demokrasi ini?


Secara amnya, di bawah Artikel 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tidak boleh bertindak dengan sendirinya, melainkan dalam 3 perkara;


1. Melantik Perdana Menteri.


2. Tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.


3. Meminta diadakan mesyuarat Majlis raja-raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia raja-raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.


Maksudnya, YDPA boleh bertindak sendirian untuk melakukan ketiga-tiga perkara ini tanpa perlu merujuk atau meminta nasihat dari Perdana Menteri (PM) atau Kabinet.


Bagi perkara lain, YDPA hendaklah bertindak atas nasihat PM sahaja. Ini diperuntukkan di bawah 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan.


40(1A) menyatakan;


“Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”


Bagaimana pula dengan pengisytiharan darurat? Apakah kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada YDPA dalam hal-hal berkaitan darurat?



Di bawah Artikel 150, ada memperuntukkan tentang pengisytiharan darurat oleh YDPA.


150 (1) menyatakan seperti berikut;


“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”


Walaupun keadaan darurat masih belum berlaku, YDPA masih boleh membuat pengisytiharan sekiranya baginda berpuas hati ia benar akan berlaku. Ini diperuntukkan di bawah 150(2) iaitu;


“Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.”


Panjang dah scroll ni, jadi persoalannya sekarang, boleh atau tak YDPA isytihar darurat dan ambil alih pentadbiran negara?


Ingat prinsip asas kuasa YDPA, iaitu YDPA hendaklah bertindak mengikut nasihat Kabinet sahaja, kecuali 3 perkara yang disebutkan di atas tadi.


Namun bagaimana jika Parlimen telah dibubar? Adakah YDPA masih perlu mengikut nasihat Kabinet?


Mahkamah telah memutuskan bahawa YDPA hendaklah mengikut nasihat Kabinet hanya sewaktu Parlimen bersidang dan Kabinet wujud sahaja. Jika Parlimen telah dibubar, YDPA boleh bertindak TANPA MENGIKUT NASIHAT KABINET.



Apabila sesebuah Parlimen telah dibubar, PM dan kerajaan hanyalah sekadar kerajaan penjaga atau caretaker government, pernah dengar kan? Nasihat caretaker government ini tidak binding ke atas YDPA.


Isu ini telah diperjelas di dalam kes PUBLIC PROSECUTOR v MOHD AMIN BIN MOHD RAZALI & ORS [2000] 4 MLJ 679, di mana mahkamah telah menetapkan seperti berikut;


“Meskipun dengan menganggap bahawa YDPA terpaksa bertindak atas nasihat Kabinet Menteri bagi membolehkan YDPA menggunakan kuasa-kuasanya untuk mengeluarkan satu pengisytiharan darurat, mahkamah masih berpendapat bahawa jika Parlimen dibubarkan dan tiada perlantikan baru dibuat sementara pembubarannya berkuatkuasa, Kabinet tidak terhenti wujud dan ia boleh menasihatkan YDPA dalam melaksanakan fungsi-fungsinya. Kabinet yang berkekalan akan bertindak sebagai kerajaan penjaga dan boleh menasihatkan YDPA atas perkara-perkara dasar yang mana termasuk darurat negara, tetapi terpulang kepada YDPA sama ada untuk bertindak selaras dengan nasihat itu atau pun tidak.”


Mahkamah terus menyatakan seperti berikut;


“Hujahan bahawa kuasa yang boleh dilaksanakan oleh YDPA mesti dilaksanakan menurut nasihat Kabinet adalah hanya benar di dalam sesuatu situasi di mana Parlimen sedang bersidang dan Kabinet wujud. Dalam situasi di mana tiada kabinet untuk menasihati YDPA, maka beliau dijangkakan bertindak dengan sendirinya...


... Begitu juga dalam situasi di mana Dewan Rakyat dibubarkan dan Kabinet tidak lagi wujud, YDPA masih mempunyai kuasa untuk mengeluarkan satu pengisytiharan darurat secara bebas...”


Maka timbul persoalan; Jika begitu, bolehkah YDPA membubarkan Parlimen dan mengambil alih kerajaan? Bukankah ia akan terjurus kepada merampas kuasa Parlimen?



Di sinilah imbangan cantik Perlembagaan pada punca-punca kuasa yang diberikan di bawahnya. Persoalan di atas tidak akan berlaku kerana pembubaran Parlimen hanya boleh berlaku jika diminta oleh Perdana Menteri sahaja (43(4) Perlembagaan). 


43(4) menyatakan;


“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”


Walaupun Artikel 55(2) ada menyatakan tentang kuasa YDPA untuk membubarkan Parlimen, namun ia perlu dibaca bersama-sama 40(1), 40(1A) dan 43(4) iaitu atas nasihat PM.


Sekiranya PM tidak minta untuk Parlimen dibubarkan, YDPA tidak boleh bertindak atas kuasanya sendiri untuk membubarkan Parlimen. Pendapat ini juga disokong oleh Gopal Sri Ram & Malik Imtiaz Sarwar. Ini juga yang berlaku di Sabah, di mana Dewan Undangan Negeri hanya dibubarkan oleh TYT Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selepas dipohon oleh Datuk Seri Shafie Apdal. Maka isu ‘rampasan kuasa’ oleh YPDA tidak berlaku sama sekali kerana pembubaran Parlimen hanya boleh dicetuskan oleh Perdana Menteri.


Menghadapi hari Selasa ini, ramai yang mahu melihat YDPA memainkan peranan dan menyelamatkan negara dari terus terjerumus ke kancah ketidakstabilan politik.



Secara hypothetical, YDPA boleh bersetuju untuk Parlimen dibubarkan jika diminta oleh PM dan kemudian mengambil alih pemerintahan negara melalui pengisytiharaan darurat sementara satu Kabinet baharu dibentuk selepas Pilihanraya.


Pada ketika ini, YDPA tidak lagi perlu mengikut nasihat Kabinet dan boleh bertindak sendirian, serta baginda boleh melantik jemaah menteri baharu mengikut kehendaknya untuk menjalankan fungsi-fungsi eksekutif.


Apabila ini berlaku, YDPA kini adalah ‘de facto’ Prime Minister of Malaysia.


Dan tindakan YDPA ini tidak boleh dicabar dalam mana-mana Mahkamah sekalipun (150(8) Perlembagaan).



Mohamad Siddiq Mohd Azani berciap di akaun Twitter @siddiqlah dan merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang Pemuda Bersatu.


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi JUMPAKATMAHKAMAH.com

Comments

Join the biggest Legal Community Group in Malaysia On Facebook

Like our page on Facebook

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Visitors